Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat bertanya kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke mana duit yang diberikan Kerajaan Persekutuan semasa pemerintahan beliau kepada kerajaan negeri itu dibelanjakan.

Malah bekas Perdana Menteri itu menyarankan agar rakyat menanyakan soalan yang sama kepada calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali memandangkan beliau pernah menyatakan pelbagai kemudahan di kawasan tersebut tidak sempurna.

Muhammad Aiman yang mengesahkan jalan di Semenyih sempit serta berlubang manakala lampu jalan tidak bernyala selain menghadapi masalah sampah sarap, kata Najib.

Menurut beliau, semasa Barisan Nasional (BN) memerintah, setiap tahun Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan kepada kerajaan negeri Selangor.

Malah, katanya, kerajaan pimpinan beliau telah menyediakan lebih RM6.3 bilion kepada Kerajaan Negeri Selangor dan ini tidak termasuk pembangunan projek dan bantuan rakyat yang diberikan terus tanpa melalui kerajaan negeri yang antaranya untuk penyelenggaraan jalan raya, membayar bil lampu jalan dan lampu isyarat selain membantu kewangan pihak berkuasa tempatan.

“Nak saya tulis satu-satu berapa juta telah diberikan untuk bina dan baiki jalan Selangor pun saya boleh,” katanya melalui hantaran Facebook.

Tambah Najib, duit ini diberikan kepada kerajaan negeri Selangor untuk membantu rakyat.

“Sepatutnya lah. Ke mana duit itu, kena tanya Azmin Ali (kini Menteri Hal Ehwal Ekonomi) dan calon PH.

“Ke Semenyih atau tidak, rasanya tidak,” katanya. – MalaysiaGazette