Empangan Batu Kwong, Rantau Panjang

KOTA BHARU – Cuaca kering berpanjangan yang melanda negeri ini sejak seminggu lepas mengakibatkan paras air di Empangan Batu Kwong, Rantau Panjang menurun sebanyak 1.76 meter (m) daripada paras normal iaitu 16.76m.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha berkata, bacaan paras air di empangan terbesar di negeri ini dicatat pada paras 15m sejak semalam.

Bagaimanapun katanya, situasi berkenaan masih dalam kawalan dan belum di tahap kritikal kerana paras isi padu air di empangan itu untuk bacaan kemarau adalah pada paras 12.20m.

“Empangan ini bukan untuk kegunaan harian tetapi lebih kepada tujuan pertanian. Bagaimanapun, JPS negeri tetap memantau empangan itu terutama pada musim kemarau ini,” katanya.

Beliau berkata, jabatan itu juga membuat pemantauan paras air sungai di negeri ini termasuk Sungai Golok.

Jelasnya, paras air di Sungai Golok juga didapati turut menunjukkan penurunan dalam beberapa hari ini ekoran cuaca kering itu.

“Pemantauan di beberapa kawasan di Sungai Golok mendapati paras air kelihatan menurun malah wujudnya beting pasir.

“Ada juga beberapa kawasan seperti di Jeram Perdah, Rantau Panjang yang sudah menampakkan dasar sungai dan sekiranya cuaca kemarau berterusan maka akan wujud beting pasir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan laman web JPS Kelantan, hampir 90 peratus bacaan paras air di beberapa tempat di negeri ini menunjukkan penurunan termasuk 3.85m di Sungai Golok, Rantau Panjang berbanding bacaan 5m pada paras normal. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast