Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Rashidah Ramli.

KUALA LUMPUR- Pendirian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menolak penubuhan Universiti Muhammadiyah di Johor adalah tepat sekali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Rashidah Ramli berkata, ini kerana pembinaan universiti itu akan mendatangkan kekeliruan yang besar terhadap pemahaman serta akidah masyarakat Islam di negeri itu.

“Universiti Muhammadiyah secara umumnya terpalit dengan polemik isu Wahabi/Salafi. Mereka juga mengaku tidak bermazhab tetapi bermanhaj seperti dinyatakan dalam artikel ‘Muhammadiyah Tidak Bermazhab tetapi Bermanhaj’.

“Tambahan, Muhammadiyah juga terpengaruh dengan pemikiran tokoh reformis kontroversi antaranya Rasyid Ridha, Muhammad Abdul Wahab, Said Qutb dan Muhammad Abduh yang mana mereka ini ditolak kerana membawa fahaman yang tidak bertepatan dengan aliran Ahli Sunnah Wak Jamaah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Tunku Ismail memuat naik kenyataan dalam laman Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor berhubung laporan akhbar berkenaan sokongan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk membina kampus Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (Uhamka) di negeri ini.

Rashidah menambah, pihaknya menyarankan kerajaan untuk memperkasa Kolej Pendidikan Islam Johor (Marsah) dalam usaha mendahului wacana akademik dan intelektual pemikiran Islam dalam negara khususnya di negeri ini.

“Ajaran dan fahaman agama yang tidak mengikut konteks dan norma tempatan tidak seharusnya mendapat tempat apatah lagi perhatian daripada seorang menteri dan ahli politik yang berasal dari negeri ini.

“Ini jelas menunjukkan ketidakpekaan beliau terhadap keadaan sosio-budaya dan agama masyarakat Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/24/tmj-tidak-setuju-rancangan-tubuh-uhamka-di-pagoh/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast