Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan surat untuk mendapatkan pinjaman bank bernilai RM1.3 juta 16 tahun lepas.

TAIPING – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan surat untuk mendapatkan pinjaman bank bernilai RM1.3 juta 16 tahun lepas.

Tertuduh Azmi Ismail, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.

Tertuduh yang dikenali sebagai ‘Azmi Juta’ didakwa memalsukan surat berupa cagaran berharga bagi membuat permohonan untuk menerima wang pinjaman daripada sebuah bank di sebuah firma guaman di sini kira-kira pukul 2.35 petang, 19 Feb 2003.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz memohon tertuduh diikat jamin RM100,000 kerana ia melibatkan nilai yang tinggi manakala P. Ravee memohon agar anak guamnya diikat jamin RM20,000 selain meminta mahkamah menetapkan syarat tambahan bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan RM30,000 dengan dua penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Taiping sebulan sekali bermula Mac sehingga kes selesai selain menyerahkan pasport ke mahkamah.

— BERNAMA