Harith Iskander.

KUALA LUMPUR – Pelawak dan pengaraca, Harith Iskander mengaku dia telah memfailkan saman terhadap pihak penganjur The Laugh Factory atas dakwaan gagal melunaskan baki wang kemenangannya berjumlah AS$70,000 (RM280,000).

Harith membawa pulang hadiah wang tunai AS$100,000 (RM400,000) selepas menjuarai pertandingan Funniest Person in The World pada Disember 2016.

Menerusi Instagram miliknya, Harith memberitahu, dia pada awalnya tidak mempunyai niat untuk membawa perkara tersebut ke tahap itu.

“Apabila artikel itu disiarkan, ramai bertanya sama ada ia benar, aduan masih berjalan di mahkamah jadi saya dinasihatkan oleh peguam di California untuk tidak mengulas mengenainya. Ia akhirnya rasmi.

“Sejujurnya saya tiada niat untuk membawa perkara ini ke tahap sekarang namun pihak penganjur tidak memberi saya banyak pilihan,” tulisnya di Instagram.

harithiskander_51309058_158318595159115_3731495311842288922_n
Foto Instagram Harith Iskander.

Akhir tahun lalu, kes saman itu pertama kali dilaporkan oleh portal Hollywood Reporter yang berpusat di Amerika Syarikat.

Menerusi pertandingan Funniest Person in The World itu, Harith, 52, berjaya menewaskan 89 pelawak dari 56 buah negara seluruh dunia yang berlangsung di Polo Arena Levi, Finland.

Funniest Person in the World merupakan sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Laugh Factory iaitu sebuah rangkaian lawak global berpangkalan di Amerika Syarikat.

Menerusi laporan portal itu, Harith memberitahu sejak memenangi pertandingan itu dia hanya menerima bayaran AS$1,000 (RM4,000) selepas berjaya menjadi peserta 20 terbaik dan AS$30,995 (RM123,820) menerusi tiga kali bayaran daripada pihak penganjur.

Sementara itu, Harith berkata, ramai tidak mengetahui pelbagai cabaran telah ditempuhnya sejak menyertai dan memenangi pertandingan itu.

Namun kata Harith, semua usahanya itu berbaloi selepas berjaya meletakkan komedi dari Malaysia di mata dunia selain terharu dengan sokongan diberikan rakyat negara ini terhadapnya. – MalaysiaGazette