Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas minta musuh politiknya bertenang dan tidak terlalu ghairah membuat pendedahan berhubung jumlah wang yang kononnya diterima parti itu sehingga mengelirukan rakyat.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, mereka seharusnya menyelaras dahulu kenyataan masing-masing agar tidak berbeza antara satu sama lain.

“Sekali RM90 juta, sekali RM3 juta, sekali RM1.4 juta, sekali lebih RM90 juta, sekali RM200 juta.

“Bawa bertenang dulu, semak elok-elok bukti yang kalian miliki, selepas itu buat dakwaan rasmi yang tepat dan betul serta nyatakan berapa sebenarnya jumlah duit yang kalian mahu Pas ambil itu,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya, semalam.

Beliau mengulas kenyataan berbentuk pendedahan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) kononnya Pas menerima duit dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan Perdana Menteri.

Jelas Nasrudin, kebanyakan tuduhan itu tidak tepat dan lebih kepada usaha pihak berkenaan untuk memburukkan imej Pas.

Katanya, kerajaan Malaysia ada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah, pendakwa raya dan penjara.

“Seeloknya gunalah pihak berkenaan untuk mendapatkan jawapan sama ada Pas menerima duit atau tidak,” katanya.

Terbaharu, Pas didakwa membayar sejumlah RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown bagi menyelesaikan kes saman di luar mahkamah.

Hari ini juga, Clare mengesahkan dia menerima bayaran itu sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Datuk Seri Abdul Hadi Awang di luar mahkamah bulan lalu.

Bagaimanapun, Clare menjelaskan, ia bukan sebahagian daripada perintah mahkamah kerana hakim tidak mengharapkan Presiden Pas itu membayar kos kerana ia sudah dibuat kepada pihak ketiga yang mewakili portal berkenaan, iaitu peguam Malaysia, Americk Sidhu. – MalaysiaGazette