Datuk Seri Anwar Ibrahim memuatnaik gambar pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di laman Facebook.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR yang juga dinamakan bakal perdana menteri kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Anwar menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, pertemuan beliau dengan perdana menteri itu menyentuh beberapa perkara.

“Antaranya adalah memaklumkan Tun tentang usaha memajukan sektor ekonomi digital dalam kerangka Koridor Raya Multimedia (MSC).

“Kami turut bincang usaha dan langkah-langkah dalam menambahbaik dan memperkasa ekonomi rakyat, selain menyentuh perkembangan mutakhir politik negara,” katanya.

Pertemuan tersebut berlangsung ketika bertebarnya spekulasi undi tidak percaya terhadap kepimpinan Dr Mahathir yang buat pertama kalinya ditimbulkan oleh Pas.

Sebelum itu perdana menteri pada satu sidang media memberitahu bahawa beberapa pemimpin Pas diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah datang menemui beliau dan menandatangani surat bagi menyatakan sokongan kepada beliau.

Bagaimanapun, perkara itu dijelaskan lebih lanjut oleh Presiden Pas bahawa sokongan Pas kepada Dr Mahathir adalah jika berlaku sesuatu kepada perdana menteri kerana pihak mereka telah ‘menghidu’ sesuatu. – MalaysiaGazette