Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berucap pada Majlis Memperingati Lima Tahum Tragedi MH370 di The Square, Publika, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia untuk memulakan semula pencarian pesawat MH370 yang hilang lima tahun lalu sekiranya menerima bukti baharu daripada mana-mana pihak terutama syarikat Ocean Infinity yang pernah terlibat dengan pencarian pesawat berkenaan sebelum ini.

Bagaimanapun menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, setakat ini tiada pihak yang tampil mengemukakan bukti dan cadangan baharu untuk membuka semula operasi pencarian pesawat milik Malaysia Airlines itu.

“Mesti ada cadangan daripada satu-satu pihak dan kami perlu mencapai persetujuan bersama-sama seperti yang dilakukan oleh Ocean Infinity sebelum ini.

“Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity ada memaklumkan mengenai teknologi baharu syarikat mereka dan kerajaan sedia berbincang dan sekiranya mereka mampu menyakinkan kerajaan bahawa teknologi yang mereka miliki itu lebih berkesan, kami bersedia untuk memulakan pencarian.

“Cuma kerajaan tidak boleh suka-suka keluar memulakan pencarian jika tiada cadangan atau bukti baharu.

“Selama ini pun, bukan kami duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Mengenang Lima Tahun Kehilangan Pesawat MH370 di sini hari ini.

Pesawat Boeing, B777 yang membawa 239 penumpang dan krew itu hilang selepas dua jam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing pada 8 Mac lima tahun lalu.

Sejak itu pencarian giat dilakukan sehingga Malaysia, China dan Australia menghentikan pencarian selama dua tahun pada 2017 selepas tidak menemui sebarang jejak pesawat berkenaan di utara Lautan Hindi.

Operasi pencarian kali kedua diterajui oleh syarikat Amerika Syarikat, Ocean Infinity di utara Lautan Hindi juga menemui jalan buntu dan dihentikan pada Mei tahun lepas.

Dalam pada itu, Anthony menegaskan kerajaan tidak menyorokkan sebarang maklumat dalam Laporan Siasatan Keselamatan setebal 495 muka surat yang diterbitkan Julai tahun lepas.

“Kami tidak menyorokan sebarang maklumat, kesemuanya telah diterbitkan untuk bacaan umum di dalam laporan berkenaan.

“Laporan tersebut adalah muktamad,” katanya lagi.

Laporan Akhir Siasatan MH370 setebal 495 muka surat itu menyebut pesawat malang berkenaan sengaja dilencongkan daripada laluan asalnya namun pihak penyiasat gagal menentukan pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut. – MalaysiaGazette