Khazanah Nasional Bhd masih belum menerima sebarang tawaran daripada pembeli prospektif untuk membeli pegangannya dalam Legoland Malaysia, taman tema yang dimilikinya di Johor. 

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd masih belum menerima sebarang tawaran daripada pembeli prospektif untuk membeli pegangannya dalam Legoland Malaysia, taman tema yang dimilikinya di Johor.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata setakat hari ini dana nasional itu belum berunding dengan mana-mana pihak.

“Buat masa ini kami belum lagi berbincang dengan sesiapa.

“Bagaimanapun, apabila kami menyemak semula aset kami, kami perlu memastikan yang kami menyedari sepenuhnya nilai-nilai yang terdapat pada aset-aset,” kata Shahril kepada pemberita.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan berita bahawa dana nasional itu sedang menimbang menjual pegangannya dalam Legoland Malaysia.

Terdahulu, beliau membentangkan Kajian Semula Tahunan Khazanah 2019, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata Legoland Malaysia mencapai kejayaan besar dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai yang tinggi dan pendapatan yang positif.

Memetik sumber, laporan berita itu menyatakan bahawa taman tema tersebut dijangka bernilai kira-kira RM1 bilion, termasuk hutang.

Legoland Malaysia terletak di Nusajaya, Johor, dan dimiliki oleh unit Khazanah.

Taman tema itu yang merupakan taman bertemakan Lego pertama di Asia, diuruskan oleh Merlin Entertainments Plc, merangkumi kawasan seluas bersamaan 50 padang bola dengan lebih 15,000 model Lego dibuat daripada lebih 60 juta lego.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast