KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas tidak akan menggunakan simbol baharu dalam kerjasama mereka kerana ia bukan berbentuk penyatuan parti, kata Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan.
“Ini bukan penyatuan parti, ia hanya kerjasama antara Pas, UMNO dan rakan parti masing-masing.
“Setakat ini tidak akan ada simbol baharu..ini hanya kerjasama dua parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan bersama perbincangan Jawatankuasa Induk UMNO dan Pas di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Beliau menekankan, kerjasama yang dipanggil perpaduan ummah itu bermula sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia sehingga ke PRK Parlimen Port Dickson.
“Mula-mula kita bertunang di Sungai Kandis dan Seri Setia dan Kandis manakala di Cameron Highlands dan Semenyih pula, kita sudah bersanding,” katanya berseloroh. – MalaysiaGazette