Tony
Tan Sri Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, AirAsia memeterai perjanjian untuk menjadi syarikat penerbangan rasmi eksklusif Liga Malaysia bagi 2019-2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu akan menyokong pasukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang beraksi dalam kejohanan Piala Malaysia, Liga Super, Liga Premier dan Piala FA dengan memberi diskaun tambang untuk terbang di seluruh negara dan rantau ini.

Menurut beliau, AirAsia juga akan mempunyai hak untuk menjual tiket perlawanan sama ada secara sendirian atau tawaran pakej bersama penerbangan dan atau hotel menerusi airasiaredtix.com.

“Bola sepak adalah antara perkara yang amat saya minati saya, dan kecintaan terhadap acara sukan yang menarik ini turut menembusi ke seluruh AirAsia. Kami ketika ini menaja Liga Remaja KL AirAsia untuk meningkatkan bola sepak dalam kalangan belia di Lembah Klang. Kami mempunyai pasukan remaja kami sendiri, PJ Rangers FC.

“Terbaharu, kami menyediakan penerbangan sewa khas bagi peminat Harimau Malaya untuk menonton aksi separuh akhir Piala Suzuki AFF masing-masing di Bangkok serta Hanoi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tony menegaskan perjanjian dengan MFL merupakan peluang menakjubkan bagi AirAsia untuk terus menyokong bola sepak Malaysia.

“AirAsia berasa bangga kerana dapat menjalankan peranan dalam memberi inspirasi kepada generasi baharu yang menyimpan impian dan menjadikan impian suatu kenyataan kepada para pemain, pasukan dan akhirnya, para peminat.

“Kami menanti untuk mengalu-alukan kedatangan wira kami dan peminat mereka menaiki pesawat kami,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berharap hasil perkongsian dengan AirAsia itu, senario bola sepak tempatan akan terus meningkat ke tahap lebih tinggi.

“Saya begitu teruja apabila pemain kita yang beraksi dalam liga ini akan terbang dengan AirAsia ke venue perlawanan mereka.

“Jarang sekali kita dapat lihat sebuah syarikat Malaysia melakar nama yang begitu besar, apatah lagi untuk muncul sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia selama 10 tahun berturut-turut, dan saya rasa kita semua boleh berbangga dengan apa yang dicapai oleh Tony dan pasukannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast