Pengerusi Bank Pembangunan, Datuk Zaiton Mohd Hassan berucap pada Majlis Perasmian Transformasi Digital Dana Industri (IDTF) dibawakan oleh Bank Pembangunan di Nusantara Ballroom, Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 07 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB) sedang membuka lembaran baharu dan berusaha untuk kembali ke landasan sebenar seawal tahun ini.

Pengerusinya yang baharu, Datuk Zaiton Mohd. Hassan berkata, beliau tidak menjanjikan sebarang tempoh masa tetapi berusaha sedaya upaya “membersihkan semula” bank tersebut.

“Saya tidak memberi sebarang jaminan tetapi berjanji akan memberikan yang terbaik dan cuba membuat pembersihan seawal tahun ini.

“Pada masa hadapan, kami juga akan melihat kepada standard kredit dan proses kredit syarikat-syarikat (yang mahu mendapatkan pembiayaan) kerana kami mahu menyeimbangkan di antara peranan sebagai sebuah bank pembangunan tetapi dalam masa yang sama tidak mengorbankan kredibiliti kami,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran Dana Transformasi Pendigitalan Industri di sini hari ini.

BPMB sebelum ini menjadi perhatian umum apabila dibelenggu isu kelemahan urus tadbir pembiayaan kerana banyak menyalurkan pinjaman kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan parti politik tertentu.

Beberapa laporan menyebut BPMB mengalami rosot nilai sebanyak 12.15 peratus pada tahun kewangan 2017 atau dalam kata lain, bank tersebut mengurangkan 12.15 sen bagi setiap seringgit yang diberi pinjam.

Di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, BPMB yang berada di bawah tanggung jawab Kementerian Kewangan kini dibarisi ahli lembaga pengarah baharu yang diketuai oleh Zaiton sebagai pengerusinya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shaharuddin Zainuddin turut meletakkan jawatan pada 30 Julai 2018 selepas kurang setahun memegang jawatan tersebut. Beliau dilantik pada 11 September 2017.

“Kami akan melantik Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu dan akan memuktamadkan semua strategi apabila CEO, ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan dapat duduk semeja membincangkan perancangan masa hadapan,” tambah Zaiton.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan kepercayaannya kepada kebolehan Zaiton untuk memulihkan semula imej dan kedudukan kewangan bank berkenaan.

“Datuk Zaiton datang untuk membuat pembersihan bank.
“Kita perlukan orang yang terbaik untuk membuat kerja tersebut dan tiada siapa yang lebih berkelayakan selain beliau,” katanya lagi.- MalaysiaGazette