PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum daripada 1 April ini kepada 1 Julai 2019.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam dalam kenyataan hari ini berkata penangguhan itu bertujuan memberi masa yang mencukupi kepada pihak industri untuk membuat persediaan yang diperlukan.
“Di samping itu, ia uintuk memberi ruang kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia membuat persiapan yang sewajarnya termasuk mengadakan jerayawara (roadshow) dan melesenkan pengilang minuman bergula di bawah Akta Eksais 1976,” katanya.
Subromaniam berkata kerajaan juga bersetuju menaikkan nilai ambang kandungan gula daripada 5 gram kepada 7 gram per 100 mililiter bagi produk minuman berasaskan susu yang mengandungi laktosa di bawah kepala kod tarif 22.02, tidak termasuk produk minuman susu soya.
“Kenaikan nilai ambang bagi produk ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha untuk terus menggalakkan pengambilan produk berasaskan susu yang mengandungi paras kandungan gula yang lebih sihat di kalangan pengguna,” katanya.
Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan cadangan memperkenalkan duti eksais mulai 1 April pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum.
Produk tersebut adalah air minuman di bawah kepala kod tarif 22.02 yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain melebihi 5 gram per 100 mililiter serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran di bawah kepala kod tarif 20.09 yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter. – MalaysiaGazette