Zainal Abdin Ahmad menyerahkan replika kunci Bezza kepada Noor Azam Jamaludin.

KUALA LUMPUR – Dalam memberi khidmat kepada masyarakat dan negara, Perodua telah menyumbang tiga unit Bezza kepada Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor (IPK Selangor) untuk digunakan sebagai kenderaan peronda.

Bezza yang diserahkan itu telah dilengkapi dengan peralatan polis termasuk radio dan lampu beacon akan digunakan di IPK Selangor, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman (JPJKK Bukit Aman) serta Polis Daerah Hulu Selangor (IPD Hulu Selangor).

“Selama 26 tahun Perodua bertapak di Selangor, kami dapat beroperasi secara efektif tanpa rasa bimbang kerana usaha keras Polis Diraja Malaysia dan khususnya IPK Selangor dalam menjaga keselamatan, keamanan dan keharmonian
masyarakat.

“Kami berharap agar sumbangan kami dapat diterima oleh pihak IPK Selangor sebagai tanda terima kasih kami di atas keteguhan, keadilan, dedikasi dan keberanian mereka. Setinggi penghargaan buat mereka,” kata Presiden dan Ketua
Pegawai Eksekutif Perodua, Dato ' Zainal Abidin Ahmad.

Upacara penyerahan telah diadakan di IPK Selangor, Shah Alam pada Selasa lalu.

Majlis penyerahan itu disampaikan oleh Zainal kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

“Perodua Bezza merupakan kenderaan peronda yang sesuai kerana ia boleh dipercayai, lasak, mudah dipandu dan cekap kos dari segi penyelenggaraan serta penggunaan bahan api.

“Selain itu, saiz Bezza yang kompak memudahkan ia dikendali, terutamanya di kawasan yang sempit,” kata Zainal. – MalaysiaGazette