Lembaga Hasil Dalam Negeri

KUALA LUMPUR – Tiada tindakan audit atau siasatan bakal dijalankan di masa hadapan sekiranya pembayar cukai secara sukarela mengisytihar harta di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengakuan sukarela PKPS yang dibuat bagi pelaporan tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun taksiran sebelum ini akan diterima dengan suci hati.

“Sehingga kini, lebih 225,000 pembayar cukai telah menyertai PKPS dalam fasa pertama yang akan tamat pada 31 Mac depan. Oleh itu, pembayar cukai dinasihatkan agar segera merebut peluang yang ditawarkan dan tidak menunggu sehingga ke saat terakhir program ini,” menurut kenyataan itu.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan PKPS yang merupakan inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan dan seterusnya berupaya mengurangkan ketirisan hasil negara.

PKPS menawarkan pengurangan kadar penalti dari 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya pengakuan dibuat pada fasa pertama iaitu 3 Nov 2018 sehingga 31 Mac tahun ini, dan seterusnya pengurangan kadar penalti kepada 15 peratus sekiranya pengakuan dibuat di dalam fasa kedua yang bermula 1 April sehingga 30 Jun tahun ini.

Menurut kenyataan itu, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan lebih 100 buah negara di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) berhubung maklumat kewangan, khususnya pemilikan akaun bank dan telah mula menerima maklumat itu mulai September tahun lalu.

Sehingga kini, LHDNM menerima lebih daripada 455,000 bilangan akaun bank yang dibuka oleh rakyat Malaysia yang diterima daripada 57 buah negara.

“Oleh itu, PKPS menawarkan penyelesaian cukai kepada mereka yang mempunyai akaun bank di luar negara hasil daripada pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia tetapi pendapatan tersebut masih belum dilaporkan kepada LHDNM,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, surat dan e-mel pemakluman kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara juga sedang dalam proses untuk dikeluarkan oleh LHDNM.

“Justeru, kerajaan menyeru kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara yang menerima surat pemakluman dari LHDNM ini agar segera tampil di mana-mana cawangan LHDNM untuk memberikan penjelasan dan seterusnya menyertai PKPS sekiranya perlu,” kata kenyataan itu. – Bernama