KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini dinasihatkan agar yakin dan percaya bahawa kerajaan telah mengambil langkah untuk mengurangkan kos sara hidup.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah rakyat harus menaruh keyakinan dengan pelbagai tindakan itu biarpun kesannya mungkin tidak segera dirasai.
“Rakyat juga perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada Kerajaan dan terus berusaha untuk memajukan diri ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup.
“Semestinya kerajaan beta akan sentiasa bersama-sama rakyat dalam mengharungi cabaran ini,” katanya berucap pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas baginda, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedar bahawa peningkatan kos sara hidup adalah antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Justeru, titah baginda, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk dilaksanakan di seluruh negara bagi membantu rakyat antaranya menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.
“Di samping itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan sektor swasta dan badan bukan Kerajaan dalam isu-isu kepenggunaan serta meningkatkan penguatkuasaan ke atas pihak yang mengeksploitasi harga dan mengambil keuntungan berlebihan.
“Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan, antaranya penyelarasan gaji minimum, pemberian Bantuan Sara Hidup, subsidi bersasar, program ‘Food Bank’ serta peningkatan kualiti sistem penyampaian Kerajaan,” titah baginda.
Turut mengiringi Al Sultan Abdullah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Dalam pada itu, baginda turut menjelaskan bahawa ekonomi negara kini berkembang sebanyak 4.7 peratus dengan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta manakala hutang RM1.9 trilion juga kekal terurus.
“Dalam hal ini, beta menyambut baik Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dan Belanjawan 2019 yang telah mengambil kira aspirasi rakyat dan cabaran semasa supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dirasai oleh segenap lapisan masyarakat,” titah baginda lagi. -MalaysiaGazette