Abdullah Fahim Mohd Yazid
Sukarelawan, Abdullah Fahim Mohd Yazid bercakap kepada media berkaitan Misi Kemanusian ke Tanzania di Yayasan Salam Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2019

PETALING JAYA – Makan sekali sehari, kanak-kanak berusia 3 hingga empat tahun sudah mula bekerja dengan hanya menyiang ikan menerima bayaran AS$20 cent (80 sen), demikianlah daifnya kehidupan di Zanzibar wilayah di dalam Tanzania.

Itu pengalaman yang membuatkan sukarelawan muda seperti Abdullah Fahim Mohd Yazid, 25 tahun mengalirkan air mata.

Padanya, kekuatan yang ada pada penduduk majoriti Islam di sana memberikan motivasi kepadanya.

Jiwanya tersentuh apatah lagi apabila melihat kanak-kanak yang bersekolah setiap hari menggunakan waktu rehat mereka untuk memaksa diri tidur kerana tidak mempunyai makanan akibat kemiskinan.

Justeru Fahim dan empat lagi rakannya sekarela untuk ke sana demi membantu penduduk Zanzibar menjelang Ramadhan hingga Aidilfitri nanti.

“Mereka di sana sebab tak mampu, makan hanya sekali sahaja, saya tak makan sehari pun sudah gastrik, mereka tidak mengalaminya pun.

“Di sana budak-budak umur 3 hingga 4 tahun kerja, di sini umur begitu mereka bersuka ria, masuk tadika tapi mereka tidak dapat merasakan kebahagiaan seperti itu.

“Mereka di sana kerja siang ikan, dapat gaji dalam USD 20 cent,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sidang media perasmian Misi Kemanusian ke Tanzania 2019 Yayasan Salam Malaysia (SALAM), sebuah NGO.

Berkongsi pengalamannya membuat tinjauan dua bulan pada 2018 sebelum pelaksanaan misi kemanusiaan bulan depan, tambah Fahim, tidak ganjil untuk kanak-kanak di sana pergi ke sekolah berkaki ayam kerana ibu bapa tidak mampu membelikan kasut untuk mereka.

“Mereka ke sekolah dengan beg plastik (keropok) yang kita langsung tidak pernah terfikir,” tambahnya.

Secara umumnya Tanzania mempunyai populasi 55 juta penduduk, di Zanzibar sahaja 2.1 juta dengan 95 peratus adalah muslim manakala selebihnya kristien.

Menyedihkan lagi apabila Zanzibar juga merekodkan 50 peratus penduduknya yang hidup di bawah garisan kemiskinan.

Anak muda berkelulusan Sarjana Muda Pemasaran di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu menganggap kemudahan yang ada dalam negara seperti bas rapid jauh lebih hebat jika dibandingkan di Tanzania.

Justeru generasi muda sepertinya perlu bukan hanya menghargai kelebihan di tanah air dalam masa yang sama perlu menjadi golongan yang tidak canggung untuk menghulurkan bantuan ke negara-negara yang memerlukan.

“Mulalah mengembara sebab dari situ kita akan dapat lihat kehidupan orang lain, mengembaralah ke negara serantau tidak jauh ke negara jiran pun kita boleh lihat apa yang kita ada lebh dari mereka, bas Rapid pun sudah satu nikmat yang besar untuk kita, di sana naik van, tempat duduk tiga orang kena berhimpit-himput lima orang,” ujarnya. – MalaysiaGazette