Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ditemani isteri, Tun Siti Hasmah Ali pada Tayangan Perdana Filem Raj Of East di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Filem Raj of the East hasil karya dan arahan Tan Sri Adam Kadir yang sebelum ini ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) kini dipratonton kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Ali.

Filem berbahasa Inggeris berdurasi hampir dua jam itu ditontonkan pada satu majlis tayangan perdana di Tanjung Golden Village (TGV) di Suria KLCC di sini malam ini.

MGF12032019_Tayangan Perdana Filem Raj Of East_01
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir pada Tayangan Perdana Filem Raj Of East di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 MAC 2019.

Adam dalam ucapan pada majlis itu berkata, filem Raj of the East layak untuk dicalonkan pada Anugerah Academy kerana pernah ditayangkan di pawagam Laemmle di Hollywood AS selama tujuh hari iaitu pada 7 Disember hingga 13 Disember lalu.

“Saya dimaklumkan, seramai 1,000 ahli Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS), iaitu pengajur Anugerah Academy, memberi undian kepada filem ini untuk dicalonkan dalam semua kategori,” katanya.

Selain Adam selaku penerbit, pengarah dan penulis skrip filem, turut hadir barisan pelakon antaranya, Datuk Yasmin Yusuff.

MGF12032019_Tayangan Perdana Filem Raj Of East_04
Pelakon, Yasmin Yusoff bercakap kepada media pada Tayangan Perdana Filem Raj Of East di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 MAC 2019

Adam juga berkata, beliau mengehadkan penggunaan peralatan moden kerana ingin menyesuaikannya dengan latar masa filem berkenaan, iaitu ketika era Tanah Melayu sekitar 1900.

“Disebabkan ini adalah filem sejarah, banyak babak yang perlu diteliti termasuk sudut kamera untuk disesuaikan dengan era itu agar tampak lebih realistik,” katanya.

Raj of the East adalah sebuah filem semi biopik yang berkisar sejarah hidup bekas Residen British di Pahang, Sir Hugh Clifford. – MalaysiaGazette