Dr. Amin Senin
Dr. Amin Senin

PUTRAJAYA – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 merekodkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.89, berbanding 4.90 pada 2017.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, jurang pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar mengecil sebanyak 0.04 pada 2018 berbanding 2017.

Ini kerana, peningkatan pencapaian calon di luar bandar sebanyak 0.04 iaitu GPN 5.18 berbanding 5.22 pada 2017, manakala pencapaian calon di bandar kekal 4.75 seperti tahun lalu, lapor BH Online.

Katanya, secara keseluruhan, 61.1 peratus calon menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan baik.

“Penguasaan calon dalam kemahiran menilai adalah paling tinggi, diikuti dengan kemahiran mencipta, menganalisis dan mengaplikasi.

“Sebanyak 70.1 peratus calon menguasai kemahiran menilai, 63.2 peratus calon pula menguasai kemahiran mencipta. 56.9 peratus calon menguasai kemahiran menganalisis, manakala 54.3 peratus calon menguasai kemahiran mengaplikasi,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2018 di sini, hari ini.

Seramai 421,706 calon di seluruh negara menduduki SPM 2018 dari 13 November hingga 13 Disember tahun lalu.

Dr. Amin berkata, 86.4 peratus calon layak dianugerahkan sijil selepas lulus mata pelajaran wajib lulus bagi SPM, iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah, manakala bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK), sebanyak 61.2 peratus daripada 1,194 calon layak dianugerahkan sijil.

Beliau berkata, bagi pencapaian calon, sebanyak 58.9 peratus atau 230,465 calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki.

“Sebanyak 2.2 peratus atau 8,436 calon cemerlang apabila mendapat gred A+, A dan A- untuk semua mata pelajaran, diikuti sebanyak 19 peratus atau 74,360 calon kepujian iaitu sekurang-kurangnya gred C manakala 37.7 peratus atau 147,669 calon lulus, mendapat sekurang-kurangnya gred E untuk semua mata pelajaran.

“Selain itu 63.5 peratus (248,569 calon) mendapat sekurang-kurangnya lima kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus sejarah.

“Sebanyak 72.5 peratus (285,041 calon) mendapat sekurang-kurangnya tiga kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus Sejarah manakala 75.8 peratus (296,673 calon) menguasai dua bahasa iaitu sekurang-kurangnya lulus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1.12 peratus calon gagal semua mata pelajaran.

Selain itu, Amin berkata, 24 daripada 63 mata pelajaran mencatat peningkatan prestasi, 37 mata pelajaran mencatatkan penurunan, manakala prestasi dua mata pelajaran lagi tidak berubah. – MalaysiaGazette