Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya insiden tembakan rambang yang mensasarkan jemaah solat Jumaat di Christchurch, New Zealand.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya insiden tembakan rambang yang mensasarkan jemaah solat Jumaat di Christchurch, New Zealand.

Jelas Anwar ia merupakan tragedi hitam terhadap kemanusiaan dan mengganggu keamanan sejagat.

“Saya berasa sangat sedih dan kesal dengan tindakan tidak bertamadun, bercanggah dengan nilai kemanusiaan yang meragut nyawa orang awam.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya dan terus mengikuti rapat insiden tembakan rambang. Menurut Polis New Zealand, situasi masih bahaya dan mereka masih dalam usaha memberkas pelaku tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu merujuk kepada insiden kira-kira jam 1.30 petang ketika umat Islam negara itu sedang bersiap untuk mengerjakan solat Jumaat.

Seramai 27 dikhuatiri terbunuh dan beberapa lain tercedera selepas terkena tembakan rambang yang dilepaskan oleh seorang lelaki melibatkan dua masjid di Christchurch.

Memetik laporan Daily Mail, penembak yang menggelarkan dirinya sebagai Brenton Tarrant di laman sosial Twitter memasuki Masjid Al-Noor dan bertindak melepaskan tembakan rambang terhadap jemaah.

Tindakan penembak itu disiarkan secara langsung video berdurasi 17 minit di akaun Facebooknya dipercayai lelaki warga Australia itu berusia 28 tahun melepaskan lebih 100 tembakan di dalam masjid berkenaan.

Saksi memberitahu media tempatan bahawa suspek memakai baju ala tentera dan membawa selaras senapang automatik melepaskan tembakan rambang di Masjid Al Noor.

Polis telah menahan seorang individu namun belum dapat dipastikan penglibatannya dalam insiden berkenaan.

Ujar Anwar lagi, beliau berharap agar mangsa kuat menghadapi dugaan dan cekal ketika melalui saat ini dan pulih seperti sedia kala.

Saya dimaklumkan seorang warganegara Malaysia dilaporkan cedera dan kini dalam keadaan yang stabil,” katanya lagi. -MalaysiaGazette