Ramzan Ali warga Fiji, menceritakan detik lompat menyelamatkan diri menerusi tingkap masjid semasa insiden tembak di Christchurch petang ini.

CHRISTCHURCH, New Zealand – Seorang jemaah solat Jumaat menganggap dirinya bernasib baik kerana terselamat dalam kejadian tembakan rambang di sebuah masjid  pada pukul 1.40 tengahari tadi.

Mangsa, Ramzan Ali dari Christchurch berkata, kesemua rakan muslim yang hadir untuk solat telah ditembak mati suspek yang disyaki warga Australia.

“Rakan-rakan yang lain datang bersoat ditembak mati dan saya sempat melompat menerusi tingkap masjid dan menyelamatkan diri.

“Boleh dikatakan saya bersyukur kerana terselamat. Saya bernasib baik. Allah selamatkan saya,” katanya kepada pemberita heraldnz.

Setakat ini 49 orang disahkan terbunuh dan 30 daripadanya di dalam masjid manakala 48 lagi tercedera.

Setakat ini empat suspek ditahan polis termasuk seorang wanita.

Perdana Menteri New Zealand menyifatkan insiden itu sebagai serangan keganasan.

Ali, 62, yang solat setiap Jumaat di masjid itu menjelaskan, semasa kejadian kira-kira 300 jemaah berada dalam masjid.

Katanya, imam sedang membaca kutbah semasa kejadian tembakan berlaku.

“Saya melihat ramai lari bertempiaran ke arah pintu semua sudut di masjid.

“Lagipun untuk memastikan 300 orang lari menggunakan dua pintu keluar bukannya senang sebab suspek datang dari arah pintu masuk utama dan hanya terdapat dua pintu keluar di dalam masjid.

“Dia masuk dan terus menembak dan sepupu saya yang duduk di sebelah saya terkena tembakan pada kaki.

“Suspek terus menembak dan mengisi peluru. Seorang lagi mangsa yang duduk di hadapan pintu masuk utama masjid ditembak di dada sebelum saya berjaya lompat menyelamatkan diri melalui tingkap,” jelasnya sambil menambah dia merupakan orang terakhir yang keluar dengan selamat.

Ali juga menjelaskan bahawa abangnya, Ashraf berada dalam masjid dan nasibnya belum diketahui lagi.

“Saya berharap dia masih hidup,” katanya.

Ali yang berasal dari Fiji berhijrah ke New Zealand pada 1989 dan berpindah ke Christchurch lima tahun lepas.

Ali merupakan seorang juruaudit makanan halal di kawasan itu.- MalaysiaGazette