Rahimi (Kiri sekali) masuk bersolat ke dalam Masjid semasa kejadian belum diketaui nasibnya sehingga sekarang merisaukan isterinya di ChristChurch dalam kejadian 1.40 petang tadi.

CHRISTCHURCH, New Zealand – Nasib seorang warga negara Malaysia yang berasal dari Pulau Pinang belum diketahui selepas insiden tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch menyebabkan 49 terbunuh dan 20 lagi tercedera.

Dalam kejadian 1.40 petang waktu tempatan, mangsa Rahimi Ahmad, 39, pergi untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor di Deans Avenue bersama anak lelakinya berusia 11 tahun.

Ia merupakan rutin mingguan Rahimi yang merupakan salah seorang daripada jemaah yang terlibat dalam insiden tembakan rambang oleh suspek warga Australia ketika masuk waktu solat sewaktu Jumaat kira-kira pukul 1.40 petang.

Memetik nzherald, anak lelaki mangsa sedang bermain di luar ketika bunyi tembakan itu kedengaran dalam masjid tersebut.

Bagaimanapun, bagi melindungi nasib budak lelaki itu, seorang jemaah yang datang untuk bersolat segera mencapai tangan kanak-kanak itu sebelum mengheret masuk ke rumah sebelah untuk berlindung.

Namun tidak ada siapa yang tahu apa yang berlaku kepada Rahimi.

Isterinya Azila berkata, dia menunggu dengan penuh cemas maklumbalas dari suaminya.

“Saya hanya ingin tahu bahawa dia selamat di dalam masjid dan berdoa serta dan harapkan panggilan dari dia,” katanya.

“Rahimi membawa telefon bimbit bersamanya, jadi saya pasti dia akan kembali menghubungi saya secepat mungkin, tetapi sehinga sekarang saya tak tahu apa berlaku kepadanya,” kata Azila.

Tambah Azila, Rahimi telah ke masjid kira-kira pukul 1 tengahari  bersama anak lelakinya.

Bagaimanapun, selepas dia mendengar berita mengenai tembakan rambang, Azila mula bimbang mengenai keselamatan suaminya itu.

Azila dimaklumkan anaknya selamat menerusi panggilan telefon daripada salah seorang kawannya tetapi Rahimi dipercayai telah berada di dalam masjid semasa kejadian itu berlaku.

“Anak saya bermain di luar, jadi apabila insiden tembak itu berlaku, kawan kami menarik tangan anak dan masuk ke dalam rumah jiran warga New Zealand yang terletak sebelah masjid,” kata Azila.

Bagaimanapun, katanya, kawannya tidak tahu apa nasib Rahimi.

Rahimi yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia tinggal bersama isteri dan anaknya sejak lima tahun lalu di Christchurch.

Azila memaklumkan kini dia pasti tindakan seterusnya ekoran kejadian itu.

“Kami semua diarahkan duduk di dalam rumah sehingga keadaan kembali pulih. Saya memang tak pasti hendak menghubungi siapa dan apa perlu buat ketika ini.

“Saya sedang menunggu dan berdoa supaya dapat dengar khabar dari dia (Rahimi) atau sekurang-kurangnya mahu dengar dia selamat,” keluhnya.

Presiden Persatuan Warga Malaysia Canterbury, Sam Yau berkata, dia telah dihubungi oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia mengenai nasib Rahimi.

Bagaimanapun Yau berkata, setakat ini belum ada sebarang pengesahan mengenai keadaan Rahimi.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand juga mengesahkan sekurang-kurangnya seorang warga Malaysia tercedera dan terdapat media yang melaporkan seorang lagi warga Malaysia berkemungkinan terbunuh.

“Suruhanjaya Tinggi sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mangsa.

“Setakat ini, warga Malaysia disahkan tercedera dan sedang menerima rawatan di hospital berhampiran,” kata Suruhanjaya Malaysia menerusi akaun twitternya. – MalaysiaGazette