Datuk Ahmad Ishak.

BUKIT GANTANG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedia menghantar bekalan hasil pertanian ke kawasan Pasir Gudang, Johor jika sayuran-sayuran dan ikan tercemar akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, langkah itu bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan dan pihaknya tidak mempunyai masalah berbuat demikian kerana mempunyai rangkaian pembekal di seluruh negara.

“Setakat ini tidak disahkan sama ada hasil pertanian dan ikan di kawasan itu tercemar dengan bahan kimia ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas program My Best Buy dan Penyerahan Sijil Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian (GPL) di kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin semalam menafikan laporan yang mendakwa banyak ternakan ikan dalam sangkar mati akibat pencemaran toksik dari Sungai Kim Kim.

Sim berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berlakunya pencemaran ke atas produk pertanian atau penternakan di sekitar kawasan yang tercemar itu.

Mengenai GPL, Ahmad berkata, pihaknya menguatkuasakan sijil tersebut dalam usaha melindungi industri pertanian terutama daripada aspek pemasaran untuk manfaat petani dan pengguna.

Beliau berkata, melalui peraturan itu, pengguna boleh membeli buah-buahan pada gred yang betul dan harga yang berpatutan selain mengetahui punca barangan tersebut serta memudahkan peniaga ketika berniaga.

“Melalui pelabelan juga kita boleh mengesan jika pihak berkuasa negara yang mengimport buat aduan kita dapat kenal pasti pengimport berkenaan dan kita akan minta ladang perbaikinya,” katanya.

Ahmad berkata, dalam tempoh setahun, kira-kira 30 peratus hasil buah-buahan selepas tuai rosak membabitkan kerugian RM3 juta berpunca daripada pembungkusan yang tidak betul.

Beliau berkata, setakat ini, FAMA telah menyenaraikan 78 barangan yang telah digredkan dan beberapa lagi barangan termasuk sayuran-sayuran serta bunga akan digredkan tidak lama lagi. – Bernama