JOHOR BAHRU- Proses pembersihan sepanjang 1.5 km Sungai Kim Kim yang dimulakan sejak Rabu lepas, ekoran pembuangan sisa kimia, sudah selesai hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata bagaimanapun, pemantauan terus dilakukan hari ini bagi meneliti sebarang langkah yang boleh dilakukan.

“Sungai Kim Kim sejauh 1.5 km yang tercemar sudah dibersihkan tetapi hari ini kita mahu tengok apa-apa lagi yang kita boleh ‘touch up’.

“Hari ini, kita boleh kata ia adalah hari pemantauan. Selepas pantau, barulah kita boleh tengok apa langkah seterusnya yang boleh dibuat,” katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana yang dibuka di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Menara Aqabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh.

Yeo berkata dalam masa sama, seramai 30 pasukan melibatkan anggota JAS dan Jabatan Kimia digerakkan ke 30 sekolah di sekitar kawasan terjejas, hari ini, bagi memantau kualiti udara dengan menggunakan alat pengesan gas.

Beliau berkata kesemua 30 sekolah itu jaraknya tiga hingga sembilan kilometer dari Sungai Kim Kim. “Sebelum ini kita sudah buat (memantau kualiti udara) di tempat berbeza-beza…dan didapati kualiti adalah tahap selamat.

“Tetapi, liputan kita hari ini akan menjadi besar kerana pembersihan sungai sudah pun siap,” katanya dengan menambah hasil laporan penuh kualiti udara tersebut akan didedahkan esok. BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast