nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menegaskan pihaknya tidak pernah campur tangan dalam Flyglobal sehingga menjejaskan imej syarikat.

Namun ia bertindak selepas menerima maklumat dan aduan daripada para pekerja bahawa syarikat penerbangan berkenaan gagal menjelaskan gaji selama dua bulan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso.

“NUFAM ingin menegaskan atas sebab maklumat dan aduan yang diterima daripada pekerja, isu ini dibangkitkan. NUFAM tidak mahu campur tangan dalam urusan syarikat kecuali Flyglobal menindas dan menganiaya pekerja mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah kesatuan itu, atas sebab kelalaian pengurusan itu, isu Flyglobal telah dibawa ke Jabatan Buruh.

NUFAM kecewa apabila dimaklumkan pekerja-pekerja telah diugut supaya menandatangani satu deklarasi menyatakan Flyglobal tidak memperdayakan kakitangannya dan pihak luar tidak boleh campur tangan dengan urusan syarikat.

Kesatuan itu mendakwa, dalam surat berkenaan pekerja didesak memberi kerjasama penuh dengan majikan jika ada masalah.

Malah, dakwanya, surat yang diformatkan oleh syarikat berkenaan dipaksa untuk ditandatangani jika pekerja mahukan gaji mereka dibayar dan pekerja boleh dihentikan kontrak mereka.

Tindakan itu, kata NUFAM sebagai satu taktik meminggirkan hak pekerja, selain menekan kakitangan kabin,

Sedangkan, dakwanya, masih ada kakitangan kabin yang belum mendapat bayaran gaji dan pengurusan pula menamatkan kontrak atas alasan tidak munasabah.

Kakitangan yang didesak menandatangani surat mereka pula hanya menerima gaji sebulan masih menunggu tunggakan gaji sebulan setengah.

NUFAM berkata, sungguhpun kuasa itu ditangan majikan tetapi mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peraturan di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 boleh diheret ke Mahkamah Buruh.

Dalam pada itu, NUFAM meminta Jabatan Tenaga bertindak pantas dan tegas ke atas mana-mana syarikat penerbangan yang melanggar Akta Kerja.

Ini kerana aduan kegagalan syarikat penerbangan membayar gaji pekerja masih lagi berlaku dan pekerja tempatan sewajarnya dilindungi undang-undang tanpa kompromi. – MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/14/syarikat-penerbangan-flyglobal-gagal-bayar-gaji-pekerja-3-bulan/