KUALA LUMPUR – Hampir 300 kakitangan syarikat penerbangan charter Flyglobal tidak menerima gaji mereka sejak Januari lalu, Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM).

Menurut NUFAM, pihaknya menerima banyak laporan dari pihak kakitangan dan ahli kesatuan menyatakan syarikat itu juga telah gagal membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso sejak Oktober lalu.

“Pihak kesatuan telah menulis kepada pihak pengurusan mengesa mereka berjumpa dengan wakil kesatuan untuk berunding mengenai masalah ini tetapi cadangan itu ditolak oleh pihak syarikat.

“Pihak syarikat telah membalas dengan satu emel kepada pejabat kesatuan menyatakan pengurusan tidak mahu berjumpa dengan wakil kesatuan,” ujar NUFAM dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan adanya tindakan seperti itu dan juga sikap berdiam diri oleh pihak syarikat, ia telah menimbul lebih kemarahan dari pihak pekerja itu sendiri, kata kenyataan yang sama.

Menurutnya, pihak syarikat sama sekali telah melanggar undang undang dibawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 dan jika bersabit kesalahan, pengurusan syarikat boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.

“Gaji pekerja seharusnya dibayar tidak lewat dari 7 haribulan setiap bulan. Pekerja juga tidak perlu menunggu sehingga berbulan untuk membuat aduan,” katanya lagi.

Di dalam satu kenyataan sidang akhbar baru baru ini, NUFAM menegaskan agar agensi Kementerian Sumber Manusia tidak lagi berkompromi di dalam hal melibatkan penganiayaan terhadap kaum pekerja di syarikat penerbangan walaupun ia membabitkan syarikat penerbangan gergasi yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Salah tetap salah dan tindakan undang undang harus diambil terhadap mana mana pihak syarikat yang telah melanggar undang undang Akta Kerja.

“Jika syarikat terus berdegil untuk menyelesaikan masalah gaji pekerja ini, tindakan menarik lesen penerbangan syarikat juga boleh diambil oleh Persuruhjaya Mavcom.

“Ini adalah satu tanggung jawab agar pihak pengurusan syarikat tidak lepas dari tindakan undang undang apabila mereka gagal dalam membayar gaji pekerja mereka,” katanya.

Menurut NUFAM, ini bukan kali pertama syarikat Flyglobal gagal membuat bayaran gaji pekerja mereka kerana pada awal tahun lepas pihaknya juga menerima laporan ada kelewatan juga dari pihak syarikat untuk membayar gaji pekerja mereka.- MalaysiaGazette