SINGAPURA/KUALA LUMPUR- Syarikat penternakan ayam Leong Hup International dan pengendali restoran makanan segera, QSR Brands berada di peringkat akhir untuk melancarkan Tawaran Awam Permulaan (IPO) pada separuh kedua tahun ini.

Penawaran IPO itu dijangka memeriahkan semula pasaran utama negara.

IPO berkenaan sepatutnya ditawarkan tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan akibat kelembapan pasaran.

Jika digabungkan dua IPO tersebut mampu meraih AS$900 juta, kata seorang sumber sambil menambah penawaran berkenaan mungkin boleh dilaksanakan seawal bulan depan.

Menurut data Refinitive, jumlah dana yang diraih daripada IPO tempatan menjunam kepada AS$170 juta pada 2018 berbanding AS$1.8 bilion pada 2017 sekali gus merekodkan prestasi terendah dalam tempoh 20 tahun.

“Pelabur-pelabur asing secara amnya tidak tertarik dengan Malaysia, jadi selepas ini pastinya mereka mempunyai minat untuk melihat peluang-peluang tersebut,” kata seorang ahli perbankan.

Pasaran saham Malaysia mengalami penurunan teruk selepas Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih pemerintahan negara buat pertama kali selepas tempoh 60 tahun sekali gus menimbulkan ketidaktentuan terhadap dasar-dasar kerajaan baharu.

Indeks penanda aras KLCI jatuh enam peratus selari dengan kejatuhan pasaran serantau.

Dalam maklum balasnya kepada soalan Reuters, Leong Hup berkata, syarikat berkenaan dalam usaha untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa sebelum melaksanakan IPO.

QSR pula bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas. – Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast