KUALA LUMPUR – Pelbagai persoalan timbul mengenai punca sebenar kemalangan melibatkan sebuah pesawat persendirian dan sebuah kenderaan yang dipandu seorang kakitangan Malaysia Airports di landasan Lapangan Terbang Subang kelmarin hingga mengorbankan petugas tersebut.

Antara tanda tanya paling besar, bagaimana kenderaan yang dipandu petugas berkenaan masih berada di landasan itu sedangkan jet peribadi tersebut sudah mendapat kebenaran untuk mendarat dan melaluinya.

Malaysia Gazette juga difahamkan pesawat tersebut milik Berjaya Air.

Menurut sumber, kemalangan itu boleh disifatkan ‘pelik’ dan jarang terjadi.

” Sudah pasti pesawat itu tidak akan dibenarkan mendarat jika terdapat sesuatu halangan di atas landasan. Justeru satu siasatan terperinci perlu dijalankan bagaimana setelah mendapat kebenaran untuk mendarat, kemalangan sebegitu masih boleh terjadi,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Malaysia Airports dalam kenyataannya semalam berkata, selepas dua hari dirawat di unit rawatan rapi, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, meninggal dunia 6.45 petang semalam.

Pemandu kenderaan kejuruteraan lapangan terbang berkenaan sebelum itu cedera parah dalam kemalangan tersebut.

Malaysia Airports berkata, bagaimanapun para penumpang dan anak kapal pesawat tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan pada kemalangan 3.20 pagi itu.

Mohd. Ruzaimi meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah binti Md Usuf dan empat orang anak berusia antara satu hingga 13 tahun.

“Kami menghulurkan bantuan sepenuhnya kepada keluarga mangsa dan menguruskan urusan pengebumian. Keutamaan kami untuk memastikan keselesaan dan kebajikan keluarga dijaga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast