Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-229 di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2019.

KAJANG – Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan cadangan supaya kakitangan Jabatan Penjara diberikan kenaikan Bayaran Insentif Khas (BIK) kepada RM200 sebulan kepda pertimbangan kerajaan Pusat dalam masa terdekat.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah kenaikan itu adalah untuk memastikan kakitangan dan pegawai Jabatan Penjara berjumlah 14,433 menikmati imbuhan seperti mana yang diterima anggota pasukan keselamatan beruniform yang lain.

“Sebenarnya kenaikan daripada RM150 kepada RM200 iaitu tambahan RM50 dan ini penting supaya saksama seperti badan uniform lain dan insyAllah kita akan melaksanakan seberapa cepat yang mungkin.

“Saya mahu dilaksanakan seberapa cepat yang mungkin jika pihak Kementerian Kewangan memberi kelulusan sekiranya menganggap amaun itu tidak begitu besar.

“Saya juga akan memastikan tidak ada ketidaksaksamaan antara satu jabatan dan perkhidmatan penjara yang lain,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-229 di Penjara Kajang di sini.

Ditanya apakah KDN juga akan mengesyorkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk menyemak struktur gaji anggota beruniform termasuk Jabatan Penjara supaya diberi kenaikan setimpal dengan kerjaya berisiko yang mereka lalui setiap hari.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem ‘Time Base’ merupakan satu penambahbaikan daripada sistem lama yang dilaksanakan kerajaan.

“Jadi apapun Jabatan Perkhidmatan Awam akan meneliti dari semasa ke semasa sekiranya keadaan mengizinkan dan kewangan negara memberikan kelebihan untuk dilaksanakan.

“Ia sememangnya satu tuntutan semua perkhidmatan pelbagai pelbagai tetapi kita tak dapat sempurnakan semuanya.

“Bagaimanapun akan diteliti dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette