Seorang ejen insurans wanita ditemui mati di dalam bilik sebuah pangsapuri di Seksyen 7 di sini pagi tadi.

TAWAU – Hasrat seorang warga emas menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Hulu Langat Selangor tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia setelah sesak nafas ketika berada dalam pesawat yang menunggu masa untuk berlepas dari Lapangan Terbang Tawau hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus ketika kejadian, Kassim Kastubi, 59, bersama 11 anggota keluarganya berada dalam pesawat Airasia untuk ke Kuala Lumpur.

Katanya ketika sedang duduk di dalam pesawat itu pada 3.55 petang, anak saudaranya menyedari mangsa dalam keadaan sesak nafas.

“Anak saudara lelaki itu kemudian memaklumkan kepada anak kapal bertugas dan bantuan pernafasan serta bantuan oksigen diberikan sebelum Kassim dikejarkan ke Klinik Kesihatan Balung.

Kassim kemudian disahkan meninggal dunia oleh seorang pegawai perubatan klinik itu,” kata Fadil dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati warga emas itu yang tinggal di Taman Ria 3 di sini menghidapi penyakit buah pinggang, kencing manis serta tekanan darah tinggi dan juga pernah menjalani pembedahan di kaki kanan kerana penyakit kencing manis yang dialaminya.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

— BERNAMA