Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang akan memangkin pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan berskala besar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tidak ada masalah sekiranya terdapat pihak swasta yang bersedia melabur untuk membina kedua-dua lapangan terbang antarabangsa itu kerana ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memacu ekonomi di koridor utara itu.

Ditanya apakah perlu sebuah lagi lapangan terbang dibina di  Kulim, kata beliau, kedua dua lapangan terbang itu akan dibiayai Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) sebagai usaha menarik pelabur dan pertumbuhan peluang ekonomi.

“Ini bukan geran seperti yang digempar gempurkan di luar sana, tetapi menerusi PFI dan harap kekeliruan ini diperjelaskan dan usaha PFI sedang berjalan lagi.

“Kalau kita lihat dari segi PFI, itu suatu perkara baik kerana kalau swasta yakin dan tampil melabur itu mencerminkan keyakinan yang meningkat kepada kerajaan Malaysia dan Kedah dan saya melihatnya dari aspek positif.

“Kalau kerajaan hendak memberikan geran tentu kerajaan akan berlaku adil tetapi itu tidak mampu diuruskan kerajaan kerana kekangan kewangan dan itulah memaksa kita memilih cara PFI dan wang bakinya saya lebih berminat belanja untuk program bantu pihak yang memerlukan seperti tambah pendapatann atau peluang pekerjaan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai kos yang diperlukan untuk pembesaran Lapangan Terbang Bayan Lepas, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata, ia menelan kos antara RM1.2 bilion atau RM1.3 bilion dan harus melalui tender terbuka.

Untuk pelan pembesaran Lapangan Terbang Bayan Lepas, katanya, jumlah kapasiti penumpang ialah 6.5 juta orang tetapi kini penggunannya meningkat kepada 8 juta penumpang.

“Ia semakin meningkat berganda setiap tahun dan berjumlah 16 juta penumpang yang mana kita sasarkan pembesaran yang mampu menampung 20 juta penumpang setahun pada masa akan datang melalui proses PFI.

“Kajian kebolehupayaan pun sudah selesai dibuat untuk Lapangan Terbang di Pulau Pinang dan kami harus tunggu untuk pelaksanaan sistem tender terbuka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast