Vincent Tan
Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

KUALA LUMPUR – Tan Sri Vincent Tan merakamkan takziah kepada keluarga allahyarham jurutera penyelenggaraan Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali yang meninggal dunia semalam selepas kenderaan Malaysia Airports Holding Berhad dilanggar pesawat persendirian milik syarikat beliau Berjaya Air.

Dalam satu kenyataan malam ini, beliau selaku pemilik Berjaya Corporations Berhad secara peribadi menyumbangkan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 kepada balu allahyarham untuk mengurangkan beban kewangan keluarganya.

Dalam kenyataan tersebut, taikun perniagaan itu turut mempertahankan seluruh pesawat dan krewnya sebagai tidak bersalah terhadap apa yang berlaku pada pagi 18 Mac lalu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Beliau membidas laporan media dan komen yang menyerang Berjaya Air, krew serta beliau secara peribadi sebagai tidak berasas dan tidak benar seolah olah memberi gambaran mereka yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

“Sebaliknya kesalahan insiden itu harus ditanggung oleh pihak berkuasa lapangan terbang kerana mereka sepatutnya memberi amaran awal yang mencukupi kepada pesawat inbound kami bahawa kerja penyelenggaraan sedang dilakukan di atas landasan semasa kami memohon kebenaran mendarat.

“Tiada sebarang amaran seumpama diberikan dan pada pandangan saya ia menunjukkan kecuaian lembaga lapangan terbang itu.

“Saya berharap kemalangan itu akan memberi satu amaran awal kepada ke semua pihak Lembaga lapangan terbang kita di selurub negara supaya insiden seumpama tidak berulang lagi,” katanya.

Katanya, Berjaya Air juga mengeluarkan kenyataannya menjelaskan apa sebenarnya berlaku dan syarikat berkenaan memberi kerjasama terhadap siasatan yang sedang berlangsung untuk mencari punca sebenar di sebalik kejadian itu.

Kata beliau, sepanjang pengetahuannya, Berjaya Air dan juruterbangnya langsung tidak bersalah dalam perkara ini kerana juruterbang telah mematuhi prosedur pengendalian pesawat dan pendaratan yang teratur.

“Mereka mendapatkan kelulusan yang sepatutnya dairpada menara ATC sebelum mendaratkan pesawat dan halangan di atas landasan.

“Kalau bukan kenderaan penyelenggaraan kecil tetapi trak atau peralatan berat yang lain sudah pasti membawa tragedi lebih ngeri sehingga berkemungkinan keseluruhan pesawat, kru dan penumpang maut dalam kemalangan itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette