Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – DAP telah hilang sentuhan politik waras sehingga terpaksa menggunakan gaya politik fitnah dan provokasi untuk mencetuskan keresahan rakyat agar tidak menyokong kerjasama Pas dan UMNO.

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasrudin Hasan berkata, pimpinan utama DAP termasuk Lim Kit Siang dan Nga Kor Ming terpaksa menyerang Pas dan UMNO kerana mereka melihat umat Islam kian bersatu.

“Sebelum ini, pada 6 dan 9 Mac lalu, Guan Eng dan Kor Ming melompat lantun tidak ubah seperti “kera kena belacan” menyerang kerjasama Pas dan UMNO apabila dilihatnya umat Islam semakin bersatu.

“Terkini, pada semalam, ADUN Keranji dari DAP, Chong Zhemin pula kepanasaran lantas menempelak Kelantan kerana tidak ada pawagam lalu mendakwa kononnya negeri itu mencatat kes HIV tertinggi,” katanya di sini, hari ini.

Hakikatnya, kata beliau, berdasarkan statistik yang dicatat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagaimana disunting oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) bagi kes HIV tahun 2015, negeri tertinggi yang merekodkan penyakit itu ialah Selangor, sebanyak 767 kes.

Kemudian katanya, diikuti Johor (451), Wilayah Persekutuan (448), Sabah (233), Sarawak (230), Pahang (177) dan Kelantan 169 kes.

Ujar beliau, statistik kes HIV bagi tahun 2016 pula Selangor mencatatkan 888 kes, diikuti Wilayah Persekutuan (499), Johor (321), Sarawak (258), Sabah (256), Pahang (212) dan Kelantan 189 kes.

Statistik terbaharu kes HIV tahun 2017 pula masih lagi Selangor teratas yang merekodkan 986 kes, manakala Wilayah Persekutuan (464), Johor (347), Sarawak (226), Sabah (211), Pulau Pinang (193), Kedah (187), Perak (154) dan Kelantan sebanyak 136 kes.

“Selepas ini, entah apa lagi fitnah murahan yang bakal direka cipta oleh bangsa DAP untuk menutup isu skandal terowong di Pulau Pinang dan juga mendepani gelombang kerjasama Pas dan UMNO yang bakal merubah landskap politik tanah air.

“Namun, saya memberi keyakinan penuh kepada rakyat khasnya anak muda yang cerdas akal dan celik politik untuk menilai dan menolak politik provokasi dan politik fitnah yang diamalkan oleh DAP mutakhir ini,” ujar Nasruddin.

Beliau berkata, politik angkuh DAP yang dilihat sedang mendominasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini semakin hilang kawalan.

Parti itu, ujarnya, terhuyung hayang “kemabukan” di bawah pengaruh emosi teruja berada di puncak kuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast