BAGAN SERAI – Seorang penganggur yang aktif mencuri wang tabung masjid dan surau sekitar Semanggol serta Bagan Serai sejak awal tahun ini ditahan polis, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek lelaki berumur 38 tahun itu ditangkap pada kira-kira pukul 6.20 petang oleh seorang ahli kariah Surau Al Falah Parit Gabis Atas dekat sini ketika dia hendak mencuri.
“Ketika kariah tersebut datang ke surau dia melihat seorang lelaki sedang menggeluarkan duit dari tabung menggunakan dawai besi yang hujungnya diletakkan pita pelekat sebelum menangkap suspek berkenaan dan kemudiannya menghubungi polis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Omar Bakhtiar berkata pemeriksaan ke atas beg pinggang suspek menemukan satu pemutar skru, satu gunting, satu beg plastik lutsinar dan satu batang besi yang dilekatkan dengan pita pelekat serta wang tunai RM47.
Katanya siasatan polis mendapati suspek giat menjadikan premis yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) sebagai sasaran bagi mengelak kegiatannya dikesan dan mengaku terbabit dengan 60 kes curi.
“Suspek memasukkan besi ke dalam tabung dan menarik duit keluar yang melekat pada pita pelekat. Dia melakukan perbuatan itu selepas waktu Zohor dan Asar kerana tiada jemaah di masjid dan surau,” katanya.
Suspek direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette