Kenderaan kejuruteraan yang dirempuh pesawat milik Berjaya Air dalam kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, dekat Subang.

KUALA LUMPUR – Berjaya Air Sdn Bhd mendakwa Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah tidak mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) untuk memaklumkan jika terdapat kerja-kerja penyelanggaraan sebelum pesawat syarikat itu melakukan pendaratan.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan malam ini berkata, pesawatnya diterbangkan berdasarkan kelulusan pelan penerbangan yang telah dikemukakan kepada ATC susulan ketibaan seperti dijadualkan di lapangan terbang Subang.

Kata syarikat itu lagi, tidak ada sebarang NOTAM dikeluarkan ATC untuk menasihati bahawa kerja penyelenggaraan (kerja dalam progress) sedang dijalankan di landasan lapangan terbang itu.

“Juruterbang kami telah meminta kebenaran kekosongan landasan dan ATC pun telah memberi kelulusan untuk mendarat.

“Semasa mendarat tidak ada sebarang lampu isyarat amaran di atas landasan untuk mengingatkan KRU pesawat kami bahawa terdapat kehadiran pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di atas landasan ketika itu.

“Lagipun, pesawat kami sudah pun mendarat di atas landasan dan diperlahankan kelajuan sebelum bertembung dengan kenderaan penyelenggaraan.” ujar syarikat itu.

Katanya, Berjaya Air tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ini kerana tidak mahu prejudis terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun kata syarikat itu, sejak insiden itu dilaporkan secara meluas dalam akhbar, kebanyakan artikel media dan ruang sembang media sosia mengandungi fakta tidak sahih dan spekulasi berkenaan kemalangan tersebut.

Oleh demikian, katanya, Berjaya Air terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku pada pagi itu.

Ekoran siasatan sudah dimulakan pihak berkuasa berkenaan, Berjaya Air menyatakan kesediaannya memberikan sepenuh kerjasama dan bimbingan kepada pihak berkuasa dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang mengendalikan siasatan itu.

“Kami berharap bahawa orang awam tidak lagi membuat spekulasi insiden malang itu dan membenarkan pihak berkuasa melengkapkan siasatan mereka terlebih dahulu.

“Kami memahami bahawa Menteri Pengangkutan dijangka mengeluarkan laporan lengkap siastaan dalam tempoh 30 hari lagi.

“Kami juga berharap akan dimaklumkan mengenai laporan hasil siasatan kemalangan tersebut supaya isu berkenaan disiasat secara mendalam dan disimpulkan bagi mengelak tragedi berkenaan berulang di masa hadapan.

Selasa lalu, pesawat persendirian milik Berjaya Air melanggar kenderaan kejuruteraan milik Malaysia Airport Berhad sehingga menyebabkan petugas MAB di dalam kenderaan tersebut cedera parah.

Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali yang kritikal meninggal dunia Rabu. –¬†MalaysiaGazette