KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menafikan ada mengeluarkan kenyataan air sembelihan babi baik untuk pertumbuhan pertanian.
Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan berbentuk senstif terutama kepada umat Islam dan menyifatkan sebagai usaha musuh politik yang cuba memburuk-burukkan imejnya.
Jelas beliau, pihaknya telah membuat dua laporan iaitu polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) berhubung fitnah yang tular di laman sosial itu.
“Walaupun laporan polis dan SKMM telah dibuat sebelum ini, masih lagi fitnah disebarkan merata-rata.
“Kali ini pengguna Facebook bernama Azaman Man Man, Mohd Sobri Said dan Tn Penasihat Yat menyebarkan screenshot palsu ini yang jelas tidak pernah disebut oleh saya,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
Sejak semalam tular di media sosial satu screenshot yang meletakkan tajuk “Air sembelihan babi baik untuk pertumbuhan pertanian menurut DAP – Salahuddin PH”.
Tajuk itu yang direka grafik seolah disiarkan oleh portal pro-PH, Malaysiakini.
Jelas Salahuddin, beliau meminta pengguna media sosial agar lebih berhati-hati ketika mendapat sebarang maklumat, terutama kenyataan yang mencurigakan dari seseorang menteri atau pemimpin parti. – MalaysiaGazette