Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad. foto NOOREEZA HASHIM, 20 MAC 2019.
Dr. Zulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan sedang dalam proses untuk membuat beberapa pindaan khususnya melibatkan kawalan dadah dan caj kadar dadah untuk mengurangkan kos rawatan penyakit kanser di negara ini.

Bagaimanapun Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini caj atau kos rawatan kanser di fasiliti awam hospital kerajaan adalah standard.

“Mungkinlah kalau di pihak (hospital perubatan) swasta itu kami dalam proses membuat beberapa pindaan khususnya dalam gagasan apa yang diistilahkan sebagai kawalan dadah atau penetapan kadar caj dadah (perubatan).

“Ini kita sedang lakukan bersama pihak KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalm Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) jadi izinkan masa untuk saya meneliti perkara seperti ini, tetapi dalam fasiliti kami di KKM kami sangat mengawal harga kos rawatan kanser,” katanya kepada pemberita di Institut Kanser Negara.

Awal pagi tadi, beliau hadir merasmikan Fund Run sempena Hari Kanser Sedunia 2019 di pekarangan IKN yang disertai lebih 2,000 peserta yang terdiri dalam kalangan orang awam serta ahli keluarga pesakit kanser yang sudah pulih selain kakitangan KKM.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga menyertai larian sejauh lima kilometer dengan memilih melengkapkan 2 kilometer sahaja disebabkan perlu bergegas ke majlis lain di ibu negara pagi ini.

“Saya terpaksa segerakan kerana mahu menyertai Solidariti Aman di Sogo tetapi 1464 (nombor lariannya) lari juga,” katanya.

Ditanya mengenai jangka masa yang akan diperlukan kerajaan untuk memuktamadkan keputusan dalam isu pengurangan kos rawatan kanser, Dzulkefly menjelaskan, beliau memerlukan masa dan tidak mahu tergesa-gesa dalam perkara tersebut.

“Beri masa dan jangan terlalu gopoh yang mana saya juga jarang gopoh. Kita ambil maklumat bukti, kajian dan berhubung dengan kesemua pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan terbaik.

“Kami tidak mahu terburu buru dalam membuat keputusan sebenarnya,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast