Pasangan selebriti Awal Ashaari dan isterinya Scha Al-Yahya hari ini memperoleh ganti rugi RM345,305 selepas menang dalam saman mereka terhadap syarikat pembekal tekstil D'Haja (Malaysia) Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti Awal Ashaari dan isterinya Scha Al-Yahya hari ini memperoleh ganti rugi RM345,305 selepas menang dalam saman mereka terhadap syarikat pembekal tekstil D’Haja (Malaysia) Sdn Bhd berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon keluaran pasangan itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah memerintahkan D’Haja selaku defendan membayar ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan saman dikemukakan Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari dan Scha, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir selaku plaintif dalam kes saman berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10,000, faedah lima peratus bermula dari dari tarikh pemfailan sehingga pembayaran penuh serta kos RM5,000 kepada kedua-dua plaintif.

Shamsudin dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati D’Haja, yang merupakan pengedar dan penjual eksklusif ke atas minyak wangi itu, gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan memastikan 20,000 botol minyak wangi plaintif berada dalam keadaan baik untuk diniagakan.

“Defendan perlu memeriksa setiap botol minyak wangi agar berada dalam keadaan baik, boleh niaga dan boleh guna kerana nama baik dan reputasi plaintif adalah pada setiap botol minyak wangi yang diterima defendan,” katanya.

Shamsudin berkata dalam perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua plaintif dan defendan dengan jelas menerangkan tugas dan tanggungjawab syarikat terbabit serta menetapkan obligasinya adalah untuk menjaga nama baik dan reputasi pasangan berkenaan.

“Oleh itu, apabila defendan menerima 20,000 botol minyak wangi daripada Eree International Sdn Bhd, adalah menjadi tanggungjawab defendan untuk menjaga nama baik dan reputasi plaintif berhubung minyak wangi tersebut,” kata hakim itu lagi.

Hakim itu berkata defendan juga mengesahkan bahawa mereka tidak memeriksa setiap botol minyak wangi yang diterima atas alasan bukan tanggungjawab mereka untuk berbuat demikian dan bilangan botol yang banyak.

“Mahkamah mendapati itu bukanlah alasan yang boleh diterima…lagipun terdapat keterangan bahawa penerimaan botol minyak wangi terus kepada defendan adalah urusan yang dibuat sendiri oleh defendan kepada Eree International tanpa pengetahuan atau persetujuan pihak plaintif,” katanya.

Shamsudin berkata defendan juga bertanggungjawab untuk mengedar dan menjual minyak wangi berkenaan serta bertanggungjawab membuat bayaran kepada plaintif selepas menerima bayaran daripada pembeli.

“Berdasarkan keterangan saksi, mahkamah mendapati defendan membuat keputusan sendiri untuk menyerahkan secara terus minyak wangi yang rosak kepada Eree International bagi tujuan gantian. Tindakan defendan telah menidakkan hak plaintif ke atas minyak wangi itu serta jelas bertentangan dengan perjanjian berkenaan,” katanya.

Hakim itu berkata mahkamah mendapati apabila defendan berurusan terus dengan Eree International, ia suatu pemungkiran perjanjian kerana Eree International tidak privi dengan perjanjian berkenaan disebabkan syarikat tersebut bukanlah suatu pihak kepada perjanjian terbabit.

Sementara itu, mahkamah membenarkan tuntutan balas difailkan D’Haja dan memerintahkan Awal dan Scha membayar RM55,000 selepas mendapati pasangan berkenaan memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi itu ke Brunei.

Dalam saman difailkan pada 30 April 2018, Awal dan Scha mendakwa mereka telah memasuki kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi Bleu dan Maroon dengan pembekal tekstil, D’Haja pada 11 Okt 2016 selama dua tahun sehingga 10 Okt 2018.

Bagaimanapun mereka mendakwa, D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma asas perjanjian selain gagal memulangkan 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu.

Pasangan itu, yang hadir pada prosiding hari ini diwakili peguam Datuk M. Reza Hassan manakala D’Haja diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican. Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Awal berkata beliau berasa lega selepas enam bulan kes ini dibicarakan.

“Hari ini adalah hari yang cukup gembira kerana kemenangan berpihak kepada kami dan hak yang kami tuntut selama ini terbela. Saya menjalankan perniagaan ini bukan semata-mata untuk cari keuntungan tetapi untuk pelaburan di masa depan,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast