Muhammad Asyraf (kanan) Aniq Ziqri memerlukan sumbangan orang ramai bagi menjalani pembedahan jantung berlubang.

BUKIT MERTAJAM – Dua bayi lelaki yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM125,000 bagi menjalani pembedahan segera.

Masing-masing mereka, Aniq Ziqri Abdul Azim, 12, berasal dari Cheras, Kuala Lumpur manakala Muhammad Asyraf Azriel Azman, 4 bulan, dari Alor Setar, Kedah.

Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pembedahan Aniq Ziqri dijadualkan pada 8 Januari tahun depan manakala disebabkan keadaan Muhammad Asyraf Azriel agak serius, bayi terbabit telah menjalani pembedahan semalam.

Sui Hau berkata, Aniq Ziqri menghidap penyakit jantung kongenital sejak lahir yang dikesan semasa dia masih berada dalam kandungan.

“Doktor mendapati lubang di jantungnya dan saluran darah menuju ke paru-paru tersumbat yang boleh menyebabkan kematian mengejut akibat kekurangan oksigen.

“Sehubungan itu, pembedahan perlu dibuat secepat mungkin dalam usaha menyelamatkan nyawanya.

“Bagi Muhammad Asyraf Azriel pula, dia telah berjaya menjalani pembedahan sebelum ini, namun berdepan komplikasi apabila mengalami jangkitan kuman.

“Jangkitan kuman menyebabkan kelumpuhan diafragma kiri tertunda telah memburukkan lagi radang paru-paru. Malah, dia berada di hospital sejak lebih sebulan lalu bagi membersihkan bakteria sebelum pembedahan diafragma dapat dilakukan selepas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua pesakit itu memerlukan sumbangan orang ramai kerana semakan pihaknya mendapati ibu bapa masing-masing hanya berniaga nasi lemak dan kuih-muih bagi menampung hidup.

“Kami berbesar hati untuk membantu mengumpul dana RM125,000 bagi memastikan pembedahan jantung Aniq Ziqri dan Muhammad Asyraf Azriel dapat dilaksanakan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau layari onehopecharity.org. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast