Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menyasar untuk mengeluarkan keperluan pelesenan bank maya menjelang akhir tahun ini, kata Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Perkara inilah yang kita usahakan buat masa ini malah, pagi hari ini, kita mempunyai taklimat bersama ketua-ketua pegawai eksekutif institusi kewangan mengenai perkara ini.

“Kita ada menerima minat dan berbincang dengan beberapa bank yang telah mewujudkan bank maya luar negara, bagaimanapun ini masih lagi di peringkat awal,” katanya semasa sidang media di sini sempena Laporan Tahunan BNM 2018 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 dikeluarkan hari ini.

Bank maya merupakan institusi kewangan berasaskan Internet yang menawarkan kemudahan deposit dan pengeluaran serta perkhidmatan perbankan lain menerusi mesin juruwang automatik dan peranti lain, tanpa mempunyai premis fizikal.

Berasaskan platform ini, bank akan mengendalikan aplikasi perkongsian dengan platform rangkaian kedai dan pembayaran digital untuk mencapai pelanggan di seluruh negara.- BERNAMA