KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya melepaskan MASwings dan Firefly bukan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).

Ini kerana, kedua-dua syarikat yang diwujudkan sejak tahun 2007 untuk bersaing dengan AirAsia gagal dan tidak berjaya membawa keuntungan besar.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, kalau kerajaan serius untuk melihat Malaysia Airlines kembali pulih, jual sahaja kedua-dua entiti itu kepada syarikat-syarikat penerbangan tambang murah.

Dan, kembalikan semula fokus Malaysia Airlines ke destinasi-destinasi antarabangsa.

“Ini juga telah dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir (Mohamad) baru-baru ini, yang mana Malaysia Airlines sepatutnya berkembang setelah mengurangkan pekerja.

“Malaysia Airlines ketika dahulu boleh terbang ke Los Angeles, Paris dan New York dan juga banyak destinasi lain dan ini adalah antara destinasi yang membawa ramai penumpang tetapi setelah 10 tahun banyak destinasi tutup.

“Langsung tidak menampakkan untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa lain.

“Destinasi ini boleh memberi keuntungan besar kepada Malaysia Airlines kerana ini adalah tarikan untuk penumpang yang mahu terbang ke luar negara,” katanya di sini hari ini.

Selain itu, Malaysia Airlines ada pesawat besar yang boleh diguna pakai untuk penerbangan jarak jauh dan bukan hanya jarak pendek.

Pesawat A350 dan A380 adalah pesawat besar yang canggih dan mampu terbang sehingga 18 ke 20 jam pada satu masa tetapi pesawat A380 itu hanya digunakan untuk penerbangan sederhana ke Jeddah, Korea, Jepun dan Madinah.

Ini merupakan antara sebab Malaysia Airlines menanggung kos pembiayaan yang tinggi kerana mengunakan pesawat besar untuk penerbangan jarak dekat dan sederhana sahaja.

“Jika kerajaan mahukan Malaysia Airlines kembali untung, mereka harus menumpukan semula dengan membuka ruang ke destinasi yang baharu.

“Buka semula destinasi yang telah dihentikan lama ketika dahulu seperti Pakistan, Dubai, Eropah dan negara negara yang akan menarik penumpang kita dan negara luar.

“Hari ini kebanyakan destinasi dekat yang disediakan oleh Malaysia Airlines sudah diambil oleh syarikat Air Asia.

“Lihat bagaimana AirAsia berkembang kerana mereka membuka ruang destinasi yang baharu tetapi bezanya Air Asia adalah syarikat kos tambang murah dan daripada segi layanan, ia amat berbeza sekali apabila dibanding dengan Malaysia Airlines,” ujar NUFAM.

Malaysia Airlines, katanya, boleh mengambil kesempatan ini dengan membawa balik destinasi yang lama untuk bersaing dengan syarikat penerbangan antarabangsa seperti Singapore Airlines, Cathay Pacific dan Thai Airways.

“Mustahil kalau Malaysia Airlines tidak untung dengan adanya pelan-pelan seperti ini,” tambah kesatuan itu lagi.

Katanya, menjual Malaysia Airlines akan hanya membawa imej negatif kepada kerajaan baharu kerana ia menonjolkan kelemahan untuk membawa idea-idea yang bagus untuk syarikat penerbangan ini, selain tidak naik untuk ekonomi.

Syarikat penerbangan seperti Garuda, JAL atau Cathay Pacific tidak pula dijual kepada pihak luar apabila mereka mengalami kerugian besar malah syarikat ini sudah menunjukan keuntungan dan prestasi yang lebih besar hari ini. – MalaysiaGazette