Bayern Munich berjaya menandatangani pemain pertahanan Atletico Madrid Lucas Hernandez.

LONDONJuara Bundesliga Bayern Munich pantas mengambil langkah awal untuk memperkuatkan skuadnya dengan menandatangani pemain pertahanan Atletico Madrid, Lucas Hernandez pada harga USD90 juta (RM366 juta).

BBC Sport melaporkan, nilai yuran perpindahan itu merupakan rekod baharu untuk Bayern.

Ini kerana ia mencecah dua kali ganda jumlah yang dibayar untuk pemain Corentin Tolisso yang juga bintang Perancis.

Hernandez, 23, merupakan sebahagian daripada pasukan pemenang Piala Dunia Perancis tahun lalu dan akan menyertai Bayern pada 1 Julai ini.

Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic berkata kelab sangat gembira kami dapat menandatangani salah seorang pertahanan terbaik dunia.

“Lucas adalah pemain serba boleh kerana dia dapat bermain di pertahanan tengah dan di belakang.

“Selain itu, Lucas akan meneruskan tradisi hebat pemain bola Perancis di sini,” katanya dalam satu kenyataan di laman web kelab.

Hernandez akan menjadi pemain Perancis ke-10 yang akan menyertai Bayern.

Kelab itu turut menandatangani seorang lagi pemenang Piala Dunia Perancis, Benjamin Pavard pada jendela perpindahan Januari.

Pavard akan menyertai Bayern daripada VfB Stuttgart pada penghujung musim 2018/19.

Sementara itu, Bayern tersingkirkan daripada Liga Juara-Juara dalam saingan kalah mati kepada Liverpool.- MalaysiaGazette