Wong Yan Ke
Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke kelihatan seolah-olah dicekik seorang lelaki di hadapan Restoran Amjal, Pantai Bharu, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dua pemimpin UMNO bersama dua lagi individu yang didakwa di Mahkmah Majistret hari ini berikutan insiden melibatkan beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) pada Jumaat lalu mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Keempat-empat individu terbabit iaitu Datuk Lokman Noor Adam, 46; Datuk Mutalif Abdul Rahim, 47; Salmon Arif Budiman Muchlis, 47; dan Mohd Norzafikah Mohammed Nawi, 43.

Pertuduhan keatas mereka dibacakan oleh juru bahasa mahkamah dan pendakwaan dilakukan oleh pendakwaraya, Adam Mohamed dan Iznina Hanim Hashim di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Lokman didakwa atas tiga pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan, mengoyakkan plakad dan menggunakan kekerasan jenayah.

Manakala, Mutalif pula turut didakwa atas tiga pertuduhan sama iaitu kerana mendatangkan kecederaan dan menggunakan kekerasan jenayah.

Dua lagi individu yang didakwa masing-masing dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan jenayah kekerasan.

Lokman diikat jamin sebanyak RM9,000 oleh seorang penjamin manakala, Mutalif diikat jamin sebanyak RM6,000.

Dua lagi tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,000 setiap seorang.

Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi keeempat-empat individu terbabit pada 16 Mei depan.

Pada Jumaat lalu, program santai bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan Universiti Malaya (UM) bertukar kecoh apabila berlaku pergelutan antara penyokong Najib dengan beberapa pelajar universiti itu.

Pergelutan itu berlaku ketika Najib sedang berucap manakala pelajar berkenaan memegang beberapa plakad sambil menjerit “penipu” dan “mana RM2.6 bilion” malah turut mengangkat plakad gambar badut menyerupai Najib. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/28/lokman-dakwa-pertuduhan-kesnya-berniat-jahat/