Saksi yang juga Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi.

SHAH ALAM –  Mustahil untuk Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim ditolak selepas turun dari van EMRS sehingga belakangnya terkena daun pintu sehingga mengakibatkan tulang rusuknya patah. 

Menolak kemungkinan tersebut, Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi berkata, kebarangkalian itu hanya akan memberi kesan kecederaan pada belakang namun hasil bedah siasat anggota bomba itu menunjukkan tulang rusuk kanan hadapan ketiga sehingga yang kelimanya turut patah. 

“Jika seseorang itu menolak mangsa pada waktu itu hanya akan menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang. Jika seseorang menyerang atau cuba mengasari dari hadapan kemungkinan untuk berlaku kesan mempertahankan diri adalah lebih besar,” kata saksi ke-24 itu kepada Mahkamah Koroner pada hari ke-19 prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Terdahulu kemungkinan situasi itu disuarakan oleh peguam mewakili  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor.

Kemudian Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah meminta pengesahan daripada Ahmad Hafizam tentang kesesuaian situasi dan momentum tindakan itu dalam kes Muhammad Adib semasa rusuhan kuil 27 November tahun lalu. 

Hafizam dalam masa yang sama tidak menolak andaian Muhammad Adib dipijak selepas jatuh sehungga mengakibatkan berlakunya kepatahan ‘berganda’ pada tulang rusuk. 

Namun demikian beliau juga tidak menafikan patah tulang rusuk berganda di depan kanan badan Muhammad Adib juga boleh berpunca daripada tindakan mengusungnya. 

“Jika untuk membuat andaian segala andaian boleh berlaku sebabnya kecederaan itu juga boleh jadi lebih teruk sewaktu proses mengusung mangsa meletakkan ke dalam kenderaan sebelum dihantar ke hospital juga boleh menjadikan kecederaan lebih teruk.

“Diletakkan apa-apa andaian semuanya boleh tapi berdasarkan bedah siasat corak kecederaan yang ada saya masih berpendapatan disebabkan satu impak sahaja,” katanya lagi menjawab soalan keterangan orang awam sebelum ini yang melihat kesan kasut pada dada kanan Adib.

Ahmad Hafizam merupakan saksi inkues kematian Muhammad Adib yang paling lama setakat ini selepas hari pertamanya memberi keterangan sejak Jumaat minggu lepas dan kemudian bersambung sehingga hari ini. -MalaysiaGazette