Gentian simen serat selulosa dan corak simen bertetulang (FCB).

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menerima satu petisyen daripada Hume Cemboard Industries Sdn. Bhd., sebuah pengeluar tempatan bagi memulakan penyiasatan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas pengimportan cellulose fibre reinforced cement flat and pattern sheets (FCB) (Gentian simen serat selulosa dan corak simen bertetulang).

Pempetisyen mendakwa subjek dagangan yang berasal atau dieksport dari Thailand telah dilambakkan ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik di negara tersebut.

Pempetisyen mendakwa bahawa lambakan import dari Thailand telah meningkat dari segi jumlah kuantiti dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepadanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kerajaan telah mempertimbangkan bukti-bukti prima facie lambakan, kemudaratan serta hubung kait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas import FCB dari negara berkenaan.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan peraturan yang berkaitan, suatu penentuan akhir akan dibuat dalam tempoh 180 hari daripada tarikh permulaan siasatan.

“Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, maka kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan,” kata MITI dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar asing,
pengeksport dan persatuan-persatuan).

Pihak-pihak lain yang berkepentingan juga boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut selewat-lewatnya pada 8 April 2019.

Katanya, pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan
ini secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada atau sebelum 22 April 2019.

Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta yang sedia ada. – MalaysiaGazette