Mohamad Sabu

LANGKAWI – Pengumuman dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masih belum dibuat kerana terdapat masalah pentadbiran berpunca daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ia lambat diumumkan kerana terdapat banyak akaun yang tidak menunjukkan kedudukan sebenar oleh pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Pengumuman berkenaan juga akan mengambil masa selepas menerima beberapa teguran sebaik sahaja proses audit dibuat.

“Jadi kami perlu membuat semakan terlebih dahulu. Selain itu, kementerian saya juga antara kementerian yang disiasat bawah Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Ambrin Buang ,” katanya pada sidang media sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.

Mohamad berkata, ia mengambil masa kerana banyak perkara yang ditegur audit secara serius tentang keuntungan yang sebenarnya mempunya masalah.

Baru-baru ini, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan isu kelewatan dividen dan bonus LTAT serta Lembaga Tabung Haji menerusi laman Facebook miliknya. – MalaysiaGazette