LANGKAWI – Kerajaan tidak boleh mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kepada umum memandang ada beberapa perkara di dalamnya yang masih di peringkat rundingan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata beliau sedar bahawa kerajaan dituduh sebagai tidak telus kerana pendirian itu, namun menjelaskan pihaknya memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan seterusnya.

“Saya tidak tahu apa dia yang kita tidak boleh cerita sebab kita cerita semua, tapi ada perkara-perkara dalam rundingan dan kita tidak boleh dedah apa yang kita berunding sehinggalah keputusan dicapai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau terdahulu hadir pada majlis sambutan Jubli Perak Permodalan Kedah Bhd (PKB) dan merasmikan Hotel Adya Chenang, di sini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak agar kerajaan mendedahkan laporan itu yang pada masa ini diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata beliau sedar rakyat tidak peduli tentang apa yang telah dilakukan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa memegang pentadbiran negara dahulu.

Namun, Dr Mahathir menegaskan bahawa tindakan bekas presiden UMNO itu telah menyukarkan proses pemulihan negara oleh kerajaan pada hari ini.

“Dia hutang begitu banyak dan duit hilang dan macam-macam lagi di masa dia dan dia mengambil kontrak yang merugikan Malaysia.

“Tapi (apabila) kita mahu matikan kontrak itu kita terpaksa bayar ganti rugi kepada kontraktor, ini menyebabkan kos meningkat dan kewangan negara terancam,” katanya.

Beliau berkata kerajaan hari ini tidak boleh memberi layanan yang sama kepada rakyat seperti mana dilakukan Najib, seperti memberi ‘duit percuma’ kepada rakyat.

“Ini kerana beliau menggunakan wang yang dicuri. Kami bukan kleptokrat, kami bukan pencuri, kami tidak mencuri wang. Kami cuba mencari wang sebanyak yang boleh, tetapi sudah tentulah kami perlu beransur-ansur kurangkan ‘hadiah percuma’ yang diberi oleh Najib,” katanya.- BERNAMA