kad xtra20
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diiringi Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke bergambar bersama kad Xtra20 pada Majlis Pelancaran Xtra20 dan Railtime di Stesen Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Mulai 1 April ini, Kereta Tanah Melayu (KTM) akan memberikan Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter secara percuma kepada 40,000 pengguna terawal dalam kalangan warganegara Malaysia sahaja.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengenalan insentif baharu itu sebagai satu penghargaan kepada rakyat Malaysia dengan memberikan tambahan diskaun 20 peratus bagi perkhidmatan komuter.

“Pada 20 Februari lalu, saya telah umumkan kelulusan tambahan diskaun 20 peratus bagi perkhidmatan KTM Komuter.

“Ia merangkumi perkhidmatan di Lembah Klang atau Wilayah Tengah iaitu laluan Batu Caves-Tampin dan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang serta Wilayah Utara iaitu laluan komuter Utara Padang Besar-Butterworth dan Padang Rengas-Bukit Mertajam,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter di Kuala Lumpur Sentral hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

MGF31032019_Majlis Pelancaran Xtra20 dan MyRailtime_08
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan kad Xtra20 pada Majlis Pelancaran Xtra20 dan Railtime di Stesen Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2019

Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter diperkenalkan hari ini khususnya untuk warganegara Malaysia yang berusia 13 hingga 59 tahun sahaja.

Sebanyak RM3 sekali dikenakan kepada pengguna KTM Komuter yang ingin mendapatkan kad diskaun berkenaan dan penumpang wajib menunjukkan MyKad semasa membuat pembelian tiket.

Anthony juga berkata, sebanyak RM34 juta diperuntukkan kerajaan melalui Perbadanan Aset Keretapi bagi membiayai inisiatif berkenaan sekali gus mampu meningkatkan kadar penjimatan kos sara hidup rakyat lebih berkesan.

“Insentif baharu Xtra20 ini dijangka mampu menjimatkan perbelanjaan penumpang sehingga RM176 sebulan di samping merangsang peningkatan penumpang KTM Komuter pada tahun ini dan tahun akan datang,” katanya.

Katanya, Kementerian Pengangkutan mensasarkan peningkatan sehingga 20 peratus pada 2019 iaitu daripada 90,000 penumpang sehari kepada 108,000 penumpang sehari.

“Seterusnya tambahan 20 peratus pada 2020 demi mencapai sasaran 130,000 penumpang sehari.

“Kemuncak bilangan penumpang adalah pada 2015 di mana sebanyak 50 juta penumpang setahun atau 136,000 penumpang sehari direkodkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette