Wong Tack. foto Straits Times

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dicabar supaya menunaikan janjinya untuk membakar kilang Lynas.

Ini kerana, Wong yang juga Pengerusi Himpunan Hijau itu pernah mengancam untuk membakar loji nadir bumi Lynas Corp. di Gebeng, Kuantan pada tahun 2013.

“Mana YB Wong Tack? Ramai sedang mencari beliau untuk memberi respon kepada kenyataan DS Redzuan, Menteri Pembangunan Usahawan. Jangan lari….

“Dulu kata nak bakar kilang Lynas Kuantan, sekarang sudah menjadi Ahli Parlimen Bentong dan PH sudah menawan Putrajaya, pendirian Wong masih tidak beranjak?

“YB Wong, sila tunaikan janji dan jangan cakap tak serupa bikin,” sindir Datuk Seri Wong Ka Siong melalui hantaran di Facebooknya hari ini.

Sindiran itu dibuat selepas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof memberi jaminan bahawa kilang memproses nadir bumi itu akan diteruskan sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing melabur di negara ini.

Ia juga bagi memastikan pelabur asing melihat Malaysia sebagai satu negara yang mempunyai persekitaran perniagaan yang mesra. – MalaysiaGazette