ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah membuka tender tempahan bagi nombor pendaftaran kenderaan KES 1 hingga KES 9999 kepada orang awam bermula dari 1 hingga 15 April ini.

Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Shariff berkata, kali ini pihaknya menyasarkan mencapai sasaran bidaan keseluruhan bagi siri KES sebanyak RM1.5 juta.

“Sasaran itu dijangka mampu dicapai berdasarkan sambutan pada siri nombor pendaftaran lalu iaitu KEN yang mengutip RM4.13 juta dan merupakan kutipan tertinggi bagi JPJ Kedah setakat ini.

“Selain itu juga, nilai bidaan dan jualan bagi siri KEE pula merekodkan RM1.87 juta diikuti KER sebanyak RM1.16 juta,” katanya kepada pemberita di pejabat JPJ negeri di sini, hari ini.

Katanya, terdapat empat kategori harga tempahan yang ditawarkan kepada orang ramai iaitu nombor bernilai utama berharga RM10,000, manakala bagi kategori nombor menarik bernilai RM2,000.

“Selain itu, RM300 dikenakan bagi mereka yang ingin menempah nombor pendaftaran siri itu yang membabitkan kategori nombor popular dan nombor biasa,” katanya.

Ismasuhaimi berkata, mereka yang berminat boleh berurusan dengan JPJ negeri agar tiada berlaku penipuan yang membabitkan orang tengah.

“Saya menegaskan di sini bahawa JPJ Kedah tidak pernah melantik mana-mana individu atau menjadi orang tengah untuk menguruskan urusan ini kerana semua urusan adalah secara terus dengan pihak JPJ,” katanya.

Orang ramai boleh mengemukakan tempahan kepada Pengarah JPJ Kedah dan panduan serta syarat lanjut mengenai tempahan boleh dilayari di laman web JPJ di http://www.jpj.gov.my/.

— BERNAMA